Kuih Lapis
Kuih Lapis
Kuih lapis secara dasarnya agak mudah untuk dikenali kerana bentuknya yang berwarna-warni. Dimasak secara berlapis-lapis dengan warna-warna yang pelbagai tetapi ssecara dasarnya 2 warna utama dalam pembuatan kuih lapis yang digunakan ialah warna merah dan putih sahaja. Merah terhasil dari pewarna merah yang diletakkan sedikit esen ros dan warna putih terhasil dari santan.
Tekstur kuih lapis adalah lembut atau kenyal dengan rasa lemak manis dan beraroma wangi santan serta esen ros. Penggunaan santan segar amat penting bagi memastikan kuih lapis yang terhasil adalah sedap. Setiap lapisan kuih ini perlu dikukus untuk jangka masa tertentu bagi memastikan lapisan masak sempurna ini dapat menampung curahan lapisan yang berikutnya. Lapisan yang dibuatnya selalunya nipis bagi menghasilkan corak yang cantik dan rasa yang seimbang antara rasa aroma ros dan lemak santan.
Bahan-
300gm tepung ubi ( atau 100gm tepung sagu)
100gm tepung beras
750ml santan
250ml air
230gm gula pasir
1 helai daun pandan (disimpulkan)
secubit garam
Pewarna makan, merah, putih (santan) dan hijau (dari pes matcha, atau pandan)
Cara memasak-
1. Masak gula pasir dengan air dan daun pandan, hingga gula larut. Sejukkan dan tapis.
2. Campurkan adunan ini dengan santan dan garam, kacau rata dan ketepikan.
3. Di dalam bekas berasingan, satukan tepung ubi dan tepung beras. Kacau rata dan tuang bancuhan
santan ke dalamnya. Sebatikan dan tapis.
4. Panaskan pengukus, balut tutup pengukus dengan kain yang bersih.
5. Alas loyang dengan plastik, dan sapukan sedikit minyak pada permukaan plastik ini.
6. Masukkan loyang dalam pengukus dan pastikan menggunakan api yang sederhana kuat ketika
proses memasak.
7. Kacau adunan dan bahagikan kepada beberapa bahagian untuk diwarnakan.
8. Untuk lapisan pertama, tuang 1 bahagian dan kukus selama 5 minit, kemudian tuang pula warna yag
kedua dan sambung mengukus selama 5 minit. Ulangi proses sampai semua adunan habis.
9. Pastikan lapisan kuih lapis masak sempurna sebelum menuang lapisan adunan yang baru.
10. Setiap kali sebelum menuang adunan ke dalam loyang, pastikan adunan dikacau terlebih dahulu.
11. Untuk lapisan ke 5 dan seterusnya, kulus selama 7 minit atau sehingga masak.
12. Bila kuih lapis telah habis dimasak, buka tudung kukus dan biarkan selama 15 minit lagi dengan
api yang masih hidup.
13. Setelah itu matikan api dan biar kuih sejuk sebelum dikeluarkan dari acuan. Bila telah sejuk
sempurna bolehlah dipotong kuih dan dihidangkan.
Nota-
Kuih lapis mesti dipastikan betul-betul sejuk baru dipotong dengan pisau plastik. Sapu sedikit minyak masak pada pisau untuk mendapatkan potongan yang cantik dan licin.
Loyang perlu dialas dengan plastik untuk memudahkan kuih dikeluarkan nanti.
Atau boleh juga menggunakan resepi ini untuk membuat kuih lapis dengan cara pembuatan yang sama.
Bahan-
2 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung jagung
1 cawan gula pasir
4 cawan santan (1 cawan santan pekat campurkan dengan 3 cawan air)
1/4 sudu teh garam
sedikit pewarna merah dan esen ros
Comments