Kari kepala ikan

 


Kari kepala ikan sedap dimasak dengan menggunakan ikan merah, siakap, kerapu, jenahak yang dihidangkan bersama sambal belacan dan nasi putih yang masih panas.  Kicap manis juga menjadi pelengkap bagi hidangan ini.  Bukan sahaja dijamah dengan nasi, kari kepala ikan juga sedap dimakan bersama lempeng, roti mamak, paratha atau roti canai.

Bahan-
700gm kepala ikan merah (atau sebarang jenis ikan yang bersesuaian)

Bahan untuk ditumbuk atau dihiris halus-
3 ulas bawang merah (kecil)
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/4 biji bawang besar

Bawang untuk ditumis-
3 sudu besar minyak masak
1 sudu kecil halba campur
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
sedikit daun kari (2-3 tangkai)

Bahan selebihnya-
2 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
1 paket rempah ikan (paket kecil)
1 sudu besar serbuk cili
1 biji cili dipotong 4
10 batang bendi
2 biji tomato
sedikit air asam jawa
garam dan gula secukup rasa
1 sudu besar halba campur

Cara memasak-
1. Bancuh serbuk kari dan serbuk cili hingga menjadi pes yang pekat.
2. Panaskan minyak dalam periuk, tumiskan bahan tumbuk kasar bersama rempah yang ada sehingga naik bau.
3. Masukkan pes rempah kari dan tumis sehingga pecah minyak serta air asam jawa (jika suka),
4. Masukkan ikan, biarkan masak seketika dengan api yang sederhana.  Tambah air sehingga menutupi ikan.
5. Masukkan santan cair, biarkan sehingga mendidih kemudian masukkan santan pekat, garam dan gula.
6. Masukkan tomato dan bendi.
7. Biarkan sehingga tomato dan bendi masak sempurna atau layu, tutup api.

Nota-
1. Untuk menghasilkan rempah yang pecah minyak, proses memasak rempah perlu diselang-seli dengan penambahan air bila rempah kelihatan kering.  Proses ini perlu dilakukan 2-3 kali atua sehingga rempah masak sempurna dan pecah minyak.

2. Terdapat juga variasi masakan kari kepala ikan yang tidak menggunakan santan sama sekali dan digantikan dengan air asam jawa sahaja.

3. Kepala ikan dan isi ikan perlu dicuci dengan air asam jawa atau hirisan limau nipis bagi menghilangkan bau hanyir.

4. Selain tomato dan bendi sayuran lain yang boleh digunakan ialah terung, kacang panjang, kacang buncis dan kobis.

5. Rempah kari perlu dimasak sehingga garing dan pecah minyak.

Kari kepala ikan merupakan masakan yang terkenal di Malaysia dan Singapura dan ia berasal dari masakan India.  Kari kepala ikan yang dimasak bersama campuran sayuran nerupakan gaya masakan daerah Kerala, India.  Ia menjadi hidangan pilihan masyarakat berbilang kaum kerana keenakannya.

Kari kepala ikan atau dikenali juga sebagai Muri Ghanto adalah makanan utama masyarakat Bengali.  Masakan ini sering dihidangkan pada majlis-majlis seperti Bhai Phota, Alburo Bhaat dan Saadh. 

Di Mithila, Odisha dan Bengal (Bangladesh), kari kepala ikan selalunya dimasak bersama-sama moog atau kacang hijau.  Kuah kari ini dimasak pekat dan pedas.

Rujukan-
1. resepichenom-kari kepala ikan
2. rasa.my resepi kari kepala ikan
3. myresepi.com resepi kari kepala ikan
4. resepi peribadi
5. bharian.com kari kepala ikan 

Comments

Popular posts from this blog

Nasi Aruk

Soto Banjar

Sup Ponas Bidayuh